Make your own free website on Tripod.com

TAFSIR: Muqaddimmah


[Dengan Nama Allah Yang Maha 
Pemurah lagi Maha Penyayang

Segala puji tertentu bagi Allah, tuhan yang menurunkan kitab yang menjadi pandu untuk menbedakan antara yang hak dan yang batil. Salawat dan salam bagi RasulNya, yang menjadi ikutan bagi orang yang mendapat petunjuk iaitu Nabi Akhir Azman, Nabi Muhammad saw. dan kepada kaum keluaraganya dan sahabatnya yang menjadi bintang pertunjuk kepada kaum muslimin.

Ama'ba'duh...

Maka pada hari Khamis 19hb September 1996 bersamaan dengan 6 Jamadil-Awal 1417 daripada hijrah Nabi saw. kami mula menyediakan ruangan tafsir ini dengan Surah Al-Fatihah yang sesuai dengan kedukdukanya sebagai Ummul Quran. Kemudian kami mulakan dengan Juz amma kerana kebanyakan surah-surahnya adalah pandek supaya tidak hilang minat dan hemah kami untuk meneruskan dengan surah-surah yang panjang. Kepada Allah jua kami minta kemaafan kerana menyalahi adat para alim ulama'.

Kami rasakan perlu memasukkan sebuah Tafsir Kitab Suci Al-Quran kerana apa yang kami ketahui masih tiada sebuah tafsir pun yang ada di dalam Internet, yang ada hanya terjemahan Al-Quran (mungkin kami silap). Sedangkan Al-Quran ialah salah satu dari pada kompas perjalanan orang yang beriman. Walaupun kami bukan ahli dalam ilmu ini namun kepada Allah kami berharap agar diberi taufik dan hidayah-Nya.

Setelah kami lihat pada kitab-kitab tafsir yang ada pada tangan kami dan sahabat-sahabat kami, maka cinta hati ini untuk mengambil Pimpinan Al-Rahman, Tafsir Ibnu Katsier dan Kitab Tafsir Baidhawi sebagai asas rujukan disamping Kitab Bahrul Mazi sebagai rujukan untuk hukum-hukum fekah yang kami selitkan di sesetengah tempat. Kami juga merujuk kepada kamus Arab-Melayu Al-Marbawi bagi sesetengah perkataan.

Di dalam ruangan tafsir ini tidaklah kami tafsirkan dengan menggunakan akal fikiran kami sendiri kerana takut kami pada acaman hadis Nabi saw. "Barang siapa yang menafsir Al-Quran dengan akal fikirannya maka sila sediakan tempat duduknya di dalam api neraka", malah kami pungut dari kitab-kitab tafsir yang kami sebutkan di atas, dan cuma kami ubah uslub ayat agar lebih mudah untuk difahami oleh kebanyakan orang sekarang, dan bukan lah berniat untuk merendah-rendahkan uslub orang tua-tua dulu-dulu kerana uslub mereka itu tidak lain dan tidak bukan melainkan dengan uslub Al-Quran yang diturunkan oleh Allah ta'ala.

Di sini juga kami tinggalkan kilaf di kalangan para ulama' pada masalah bacaan yang banyak terdapat di dalam kitab tafsir Baidhawi kerana tidak akan tercapai maksud jika tidak disertai dengan tulisan Arab dan sukar bagi kami untuk memasukkan tulisan arab di sini disamping tujuan asal kami adalah untuk memasukkan tafsiran dalam tiga ilmu yang wajib diketahui oleh tiap-tiap mukalaf iaitu Tauhid, Fekah dan Tasauf.

Kami berharap kepada alim ulama' yang menemui kesilapan yang kami muatkan dalam ruangan ini supaya segera membetulkan kami yang jahil ini supaya tidak berpanjangan kesilapan kami. Dalam setiap helaian kami sediakan ruangan 'Maklum Balas'. Disamping itu kami juga berharap kepada para alim ulama' agar membimbing kami jika ada kekurangan dan kecacatan yang terdapat. Kami juga sedia menerima segala pandangan.

Semuga Allah jadikan ruangan ini pahala bagi pertaruhan kami, guru-guru, orang tua kami, keluaraga kami, sahabat-sahabat dan semua yang menanyangi kami di akhirat kelak. Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan dengan taufik dan hidayah Allah jua. AMIN... AMIN, YA RABBUL 'ALAMIIN.


[Panduan] [Muqaddimmah] [Surah-Surah] [Ayat-ayat Hukum] [Asbabunnuzul] [Kisah-kisah]
[Penutup ] [Carian Index] [Index]